Ramadhan Datang Lagi.

Assalamualaikum,

kredit google

Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran kita ke hadrat Allah swt kerana kini kita makin memhampiri bulanNya yang terlalu istimewa, iaitu Bulan Ramadhan Almubarak. Dalam beberapa hari saja lagi, seluruh umat islam akan menyambut kedatangan bulan mulia yang dinanti-nantikan saban tahun. Sebetulnya, kita belum tentu lagi dapat bersama dengannya kali ini, kerana ajal dan maut, tiada siapa yang tahu, kecuali Allah. Namun, Ramadhan tetap akan menjengah jua ( In Sha Allah ), maka rugilah sesiapa yang belum bersedia menerimanya.

Perhatikan firman Allah swt ini,
(يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُتِبَ عَلَيۡڪُمُ ٱلصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِڪُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ (١٨٣
Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.
(Al Baqarah :183)  
 

Renung-renungkan lah ‘Pohon Taqwa’ kita kini.
Sepanjang berpuasa sebulan Ramadhan yang lalu, sebaik mungkin bekalan telah kita kutip untuk kita harungi setahun sebelum datangnya lagi Ramadhan kali ini, apakah masih rimbun Pohon Taqwa kita? Apakan masih bisa orang ramai berteduh mengambil manafaat darinya, atau sudah habis keguguran dedaunan hijau dek kurangnya siraman amal dan bajaan ibadat kita selama setahun ini?

Apakah masih berbuah pohon taqwa kita tadi sehingga dapat berbakti kepada makhluk Allah yang lainnya, atau usahkan berbuah sebiji dua lagi, tapi berputik bunga pun tidak dek kelalaian kita menyuburkannya dengan akhlak yang mulia berserta iman yang mantap sepanjang tahun selepas Ramadhan yang lalu? Tiada siapa yang dapat menjawabnya, selain diri kita sendiri…Perhatikan lah ‘Pohon Taqwa’ kita masing-masing.

Bukankah ayat di atas menyatakan, natijah dari sebulan berpuasa dalan bulan Ramadhan yang penuh berkat itu adalah ketaqwaan kepada Allah swt.??? Lalu, bagaimanakah sebenarnya puasa kita dahulu, kalau kayu ukurnya adalah taqwa???

‘Pohon Taqwa’ kita tidak lain dan tidak bukan adalah amalan seharian kita, amal ibadat seharian kita serta tingkah laku pada akhlak kita selama ini. Sejauh mana kita menjaga halal dan haram ketetapan Allah, sejauh mana kita berhati-hati dalam menangani setiap syubhah dalam hidup kita, itulah taqwa. Hanyutkah kita dengan dunia yang fana ini, atau masih kuat berpaut pada realiti akhirat yang menjadi destinasi setiap diri?
Maka bersyukurlah, dan mohonlah pada Allah semoga masih dipanjang lagi umur kita agar bertemu dengan Ramadhan Karim, kerana Ramadhan adalah madrasah tarbiyah yang mendidik kita ke arah taqwa.
Perhatikan lagi penjelasan seterusnya mengenai Ramadhan.

……. شَہۡرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِىٓ أُنزِلَ فِيهِ ٱلۡقُرۡءَانُ هُدً۬ى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَـٰتٍ۬ مِّنَ ٱلۡهُدَىٰ وَٱلۡفُرۡقَانِ‌ۚ
Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.
(Al Baqarah : 185) 


Di mana istimewanya Ramadhan?
Ayat di atas menjelaskan kehebatan bulan yang di dalamnya diturunkan Al Quran yang menjadi sumber hidayah manusia dari dulu hingga akhirnya dunia. Tidak syak lagi, kehebatan Ramadhan terletak pada Mukjizat Agong Nabi Muhammad saw, yaini Al Quran itu sendiri.

Di dalam Al Quran terkandung perintah berpuasa yang punya seribu satu hikmah di sebaliknya, samada kepada fizikal, intellectual, emotional mahupun spiritual kita. Puasa yang mendidik kita supaya ikhlas seikhlasnya beramal hanya sa nya kepada Allah semata. Masakan tidak, hanya Allah yang benar-benar tahu puasa atau tidaknya kita, tidak seperti amal ibadat lain yang bisa dilihat oleh manusia lainnya.

Lailatul Qadr merupakan hadiah Allah yang khusus hanya dapat diperolehi dalam bulan Ramadhan. Dengan segala keistimewaanya Lailatul Qadr itu;

إِنَّآ أَنزَلۡنَـٰهُ فِى لَيۡلَةِ ٱلۡقَدۡرِ (١) وَمَآ أَدۡرَٮٰكَ مَا لَيۡلَةُ ٱلۡقَدۡرِ (٢) لَيۡلَةُ ٱلۡقَدۡرِ خَيۡرٌ۬ مِّنۡ أَلۡفِ شَہۡرٍ۬ (٣) تَنَزَّلُ ٱلۡمَلَـٰٓٮِٕكَةُ وَٱلرُّوحُ فِيہَا بِإِذۡنِ رَبِّہِم مِّن كُلِّ أَمۡرٍ۬ (٤)
سَلَـٰمٌ هِىَ حَتَّىٰ مَطۡلَعِ ٱلۡفَجۡرِ ( ٥
Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, (1) Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? (2) Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. (3) Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); (4) Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar! (5)
(Al Qadr : 1-5)


Malam yang lebih baik dari seribu bulan, ketahuilah, yang dimaksudkan Lailatul Qadr itu adalah malam apabila Al Quran pertama kali diturunkan dari Luh Mahfuz ke langit dunia. bukankah semuanya berkait dengan Al Quran jua?

Maka, tambah eratkanlah diri kita dengan kitab suci Al Quran itu dalam bulan Ramadhan yang mulia ini. Bacalah, pelajarilah dan hayatilah isi kandungannya, bukan setakat mengambil berkatnya Al Quran, tetapi yang lebih penting adalah hidayah yang datang bersamanya.

Di samping itu,dalam bulan Ramadhan juga terhimpunnya perintah untuk berpuasa, yang mana seperti dalam sebuah hadis Nabi saw,
“Semua amal anak Adam adalah baginya, melainkan puasa. Ianya untuk Ku, dan Aku akan mengganjarinya”
(Riwayat Bukhari)

Sudah terang lagi bersuluh, kelebihan ibadah puasa di sisi Allah swt. Bagi kita manusia, puasa sebagai penebus dosa, puasa sebagai ampunan dari Allah swt, dan akan juga menjadi syafaat buat kita di Padang Mahsyar nanti. Ayuh, berlumbalah kita mengejar kebaikan dari berpuasa di bulan Ramadhan seperti yang diwajibkan, selain melaksanakan ibadah2 lainnya dalam bulan yang penuh keberkatan ini.
Perbanyakkanlah doa dan munajat kita kepada Allah, supaya diberi kekuatan untuk melakukan yang terbaik, semoga Ramadhan kali ini adalah Ramadhan yang terbaik buat kita. 

Berikut, adalah beberapa tips yang boleh kita laksanakan dalam kita berusaha menjalani ibadah puasa kita dengan sebaik mungkin, mudah2an ianya tidak berlalu dengan sia-sia, insyaAllah.

Tips Ramadhan supaya tidak Sia-sia.

1. Uruskan masa

a. Gariskan objektif/target Ramadhan kita kali ini, cth:

* Bila atau berapa kali nak khatam Quran.
* Berapa hari nak iktikaf di masjid.
* Berapa banyak sedekah nak dibuat.
* Berapa kali nak jamu tamu berbuka puasa dan sebagainya….

b. Elakkan buat aktiviti lagha dan sia-sia seperti terlalu banyak menonton TV atau bersembang kosong.
Sebaliknya, perbanyakkan aktiviti berkualiti yang menambah pahala bersama dengan anak2 atau rakan
taulan.

c. Jangan banyak tidur, masak atau bershopping. Sedaya mungkin, ubah budaya Ramadhan sebelum ini
kepada yang lebih bermakna.Ajar anak2 supaya besederhana ketika berbuka dan sebagainya.

d. Manafaatkan waktu untuk Quran dan zikrullah. Perbanyakkan perkumpulan tadarus dari kalangan
keluarga dan rakan sekerja.

2. Kawal belanja kita. 

a. Tanamkan azam untuk kurang belanja tapi lebih bersedekah di bulan Ramadhan.

b. Hadkan juadah berbuka dan bersahur secara ala kadar sahaja.

c. Elakkan dari membazir, tetapi perbanyakkan berjamu orang berbuka puasa.

3. Tingkatkan ilmu, rohani dan amal, kerana pahalanya sangat berganda.

a. Beramal dengan kefahaman akan lebih beerti dan bersemangat untuk dilaksanakan.

b. Perbanyakkan amalan2 sunat seperti solat dan zikrullah (termasuk baca Quran).

c. Banyakkan bersedekah dan beristigfar.

d. Perbanyakkan berdoa, kerana doa orang yang berpuasa sehingga dia berbuka adalah sangat mustajab.

4. Tingkatkan kualiti diri.

a. Hayati tuntutan ibadah yang sebenar. Khusyuk solat dan tadabbur ayat-ayat Al Quran.

b. Semai akhlak mulia hasil dari berpuasa, seperti sabar, amanah, pemaaf, jaga lidah dan banyak syukur.

c. Mujahadah untuk perbanyakkan qiam, tahan marah dan jaga pandangan.

5. Erat Silaturrahim 

a. Antara suami isteri dan sanak keluarga serta jiran tetangga.

b. Hantar ucapan puasa maupun doa2.

c. Bertukar juadah (asal tidak membazir).

d. Jamu orang berbuka (terutama pada yang singles)

e. Ingati saudara2 yang tertindas dengan mendoakan mereka selalu.

f. Banyak bersedekah.

Mudah2an, dengan kesungguhan kita berusaha, dipermudahkan jua oleh Allah untuk kita. Sesungguhnya,
Tiada daya dan upaya kita melainkan dengan bantuan serta taufiq dari Allah jua.

sumber : ^_^

kredit google

2 comments:

athiqi ariff said...

marhaban ya ramadan...jom kita sama2 tingkatkan amalan kita di bulan mulia ni...huhu..

Unknown said...

selamat berpuasa dar shark.
follower baru disini :)

Tonton Awak Suka Saya Tak 2017 Full Episod

  Tajuk : Awak Suka Saya Tak Mula Tayangan : 25 September 2017 Masa : Setiap Isnin-Khamis, 10.00 mlm Siaran : Astro Ria 104 ...